Terdapat 17 teras perjuangan yang menjadi dasar parti:
1. Mewujudkan masyarakat adil dan negara demokratik yang progresif serta bersatu.
2. Menghormati sistem Raja Berperlembagaan, memperkukuh Demokrasi Berparlimen, serta mendukung hak dan kuasa rakyat.
3. Menegakkan kedaulatan undang-undang yang adil, media massa dan kehakiman yang bebas, serta pasukan keselamatan yang berkecuali.
4. Menjamin kebebasan berfikir, bersuara, bergerak, berhimpun dan berpersatuan.
5. Mengukuhkan sistem pemerintahan Persekutuan yang adil, bertanggungjawab dan demokratik.
6. Menghormati kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan sambil mengiktiraf hak agama-agama lain.
7. Mempertingkatkan kemuliaan insan, menegakkan hak asasi manusia serta prinsip integriti dan akauntabiliti.
8. Melaksanakan ekonomi yang adil dan dinamik, mengatasi kemiskinan serta membatasi penumpuan kekayaan.
9. Memastikan kedudukan istimewa Melayu digunakan untuk meningkatkan taraf sosioekonomi golongan miskin dan terbiar serta pembelaan adil kepada bukan Melayu yang miskin.
10. Menyediakan pendidikan, kesihatan dan perumahan yang bermutu dengan kos yang munasabah.
11. Memperjuangkan dan menjamin hak bekerja, upah yang adil serta mutu kehidupan yang baik.
12. Memperjuangkan hak dan kepentingan wanita serta menjamin kesaksamaan mereka dalam semua bidang.
13. Memperjuangkan hak dan kepentingan belia serta menjamin peranan bermakna mereka dalam semua bidang kehidupan.
14. Meningkatkan mutu hidup Orang Asal, menghormati adat mereka dan melindungi hak ke atas Tanah Adat.
15. Memajukan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan sambil menjamin hak mempelajari dan menggunakan bahasa lain.
16. Melindungi alam semula jadi, mencegah kerosakan alam sekitar dan memastikan pembangunan mampan.
17. Menegakkan sistem antarabangsa yang adil dan demokratik serta melaksanakan dasar luar yang bebas dan beretika.
Sumber: Sejarah Parti Keadilan Rakyat, Lampiran I: Tujuan dan Matlamat Perjuangan Parti.

0 Comments