Susulan pemecatan saudara Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 2 September 1998, api reformasi marak membakar nurani rakyat marhaen di ibu kota Kuala Lumpur. Gelombang bantahan rakyat melimpah ke jalanan dengan seruan bangkit menentang kezaliman dan kebobrokan pemerintah Barisan Nasional. Gelombang ini kemudian mencambah menjadi sebuah pertubuhan bukan kerajaan, ADIL seterusnya berkembang dalam bentuk birokrasi politik yang tersusun dengan nama Parti KeADILan Nasional pada 4 April 1999.
Tahun 1999
Dalam usia baru menginjak 7 bulan, keADILan telah menyertai pilihanraya umum ke-10 pada 28 November 1999. Naib Presiden Marina Yusoff telah diamanahkan sebagai calon parti di Parlimen Wangsa Maju. Beliau adalah ahli politik senior yang pernah menyertai Umno dan Parti Melayu Semangat 46. Beliau juga terkenal sebagai antara pemidato wanita terbaik dalam arena politik negara. Marina Yusoff telah memberikan saingan sengit sepanjang tempoh berkempen namun akur tewas kepada Barisan Nasional dengan majoriti 5,618 undi.
Tahun 2004
Pelantikan Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri ke-5 telah memberikan feel good factor kepada Barisan Nasional. Momentum sokongan kepada BN kembali meningkat. PRU ke 11 adalah tiitik terendah KeADILan apabila hanya mampu mempertahankan Permatang Pauh sebagai kerusi parlimen tunggal. Kekalahan besar KeADILan telah menyebabkan ramai pemimpin parti meletakkan jawatan dan berundur dari parti. KeADILan Wangsa Maju diwakili oleh mantan Setiausaha Agung Sahri Bahari tewas dengan majoriti 10,185 undi.
Pada tahun ini, penggabungan KeADILan dan Parti Rakyat Malaysia telah mendapat lampu hijau dari Pendaftar Pertubuhan. Secara rasmi nama parti berubah kepada Parti KEADILAN Rakyat (PKR).
Tahun 2008
Kebangkitan semula PKR menyaksikan kerusi parlimen Wangsa Maju berjaya dirampas daripada MCA dengan majoriti 150 undi. PKR diwakili Wee Choo Keong, seorang mantan pemimpin DAP dan pengasas MDP. Bagaimanapun, Wee memilih untuk berundur dari PKR dan membentuk blok ahli parlimen bebas pada tahun 2010.
Tahun 2013 - 2014
Dr. Tan Kee Kwong telah berjaya mengekalkan kemenangan PKR Wangsa Maju dengan majoriti 5,511 undi, Beliau kemudiannya memenangi pemilihan parti sebagai Ketua Cabang. Manakala pembantu beliau, Muhammad Abdullah Kamsani atau Syafiq Sunny memenangi jawatan Ketua Angkatan Muda Cabang Wangsa Maju.
Tahun 2018
Dr. Tan Kee Kwong tidak dicalonkan semula oleh parti. PKR telah memberikan mandat kepada Bendahari Dr. Tan Yee Kew dan beliau menang dengan majoriti besar 24,238 undi.
Dalam pemilihan parti, pembantu beliau Andre Lai telah memenangi jawatan Ketua Cabang PKR Wangsa Maju menewaskan penyandang Dr. Tan Kee Kwong. Manakala Firdaus Marzuki telah menewaskan Syafiq Sunny bagi jawatan Ketua AMK.
Tahun 2022
Ketua Cabang PKR Titiwangsa, Zahir Hassan telah dicalonkan mewakili parlimen Wangsa Maju seterusnya menang besar dalam pertandingan 6 penjuru.
Manakala pemilihan parti meyaksikan Andre Lai mengekalkan jawatan Ketua Cabang PKR Wangsa Maju selepas menewaskan mantan Ketua AMK Wangsa Maju, Syafiq Sunny. Mohammad Azfar Aza Azhar telah memenangi jawatan Ketua AMK dan Haslinda Kasbullah memenangi jawatan Ketua Wanita.
Tahun 2025
Dalam pemilihan parti, Andre Lai berjaya mengekalkan jawatan Ketua Cabang PKR Wangsa Maju untuk kali ketiga selepas menewaskan Ahli Parlimen, Zahir Hassan. Arief Izuadin pula memenangi jawatan Ketua AMK Wangsa Maju dan Falora Ambi menewaskan penyandang Haslinda Kasbullah untuk jawatan Ketua Wanita.
Bagaimanapun, Andre Lai telah digantung selama setahun selepas disabit kesalahan oleh Jawatankuasa Disiplin parti. Parti mengarahkan Azmee Abdul Rahim, Timbalan Ketua Cabang untuk memangku tugas sebagai Ketua Cabang PKR Wangsa Maju.