Hasil analisis awal menunjukkan bahawa jurang komunikasi dasar kerajaan dan persepsi pengundi, khususnya gelombang perubahan sokongan pengundi Melayu serta golongan muda menjadi faktor kritikal kepada pencapaian parti kali ini. Kegagalan menterjemahkan kejayaan makroekonomi negara kepada naratif yang menyentuh kehidupan harian rakyat di peringkat DUN telah membolehkan naratif pembangkang memikat minda pengundi. Selain itu, cabaran penyelarasan jentera serta kelemahan liputan penerangan di sesetengah kawasan luar bandar dan pinggir bandar turut menyumbang kepada hakisan sokongan yang ketara.
Menginsafi keputusan ini, kita sewajarnya segera melaksanakan proses 'post-mortem' menyeluruh dan komprehensif di setiap Cabang dan Ranting bagi mengenal pasti kepincangan struktur serta strategi parti. Langkah-langkah penyusunan semula jentera akar umbi, pemerkasaan kepimpinan tempatan dan perancangan semula naratif politik parti perlu dimulakan secara drastik demi merapatkan semula hubungan dengan rakyat. Fokus utama kita pasca-PRN ini adalah untuk mengembalikan keyakinan awam melalui penambahbaikan penyampaian perkhidmatan serta memperkasakan agenda sosioekonomi tempatan, selain membuktikan bahawa KEADILAN kekal komited sebagai wadah perjuangan rakyat yang sentiasa mendengar dan meletakkan kebajikan rakyat di hadapan.
